Wednesday, September 10, 2008

Industri Unit Amanah Bakal Alami Persaingan Sengit

KORPORAT

JOHOR BAHRU 25 Nov. - Industri unit amanah di negara ini bakal berdepan dengan persaingan yang sengit dalam menawarkan pulangan pelaburan yang menarik tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, ASM Investment Services Bhd. (ASM Investment), Nik Mohamed Zaki Nik Yusoff berkata, industri itu kini melalui 'tempoh sukar' terutamanya dengan penurunan pasaran saham yang mendadak ekoran krisis kewangan global.

Beliau berkata, syarikatnya tidak terkecuali menerima tempias kemelut itu apabila jualan bersih unit amanah sahamnya mengalami kemerosotan sebanyak 15 peratus sejak September lalu.
"Sejak Januari hingga Ogos lalu, jualan bersih unit amanah saham kami mencatatkan prestasi konsisten dengan jumlah melebihi RM30 juta setiap bulan.

"Justeru, jika hari ini kami menjangkakan pulangan pelaburan yang tinggi kepada pelabur pada tahun depan, pasti ramai yang memandang sinis kepada kami.

"Namun ASM Investment tetap komited untuk mampu sekurang-kurangnya mencapai pulangan pelaburan yang sama seperti yang diumumkan pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Wilayah Johor di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar, Pembangunan Perniagaan, ASM Investment, Chong Teik Siang dan Pengurus Wilayah Johor, Norsyah Nizam A. Aziz.

Nik Mohamed Zaki berkata, pelabur sebenarnya perlu merebut peluang daripada penurunan pasaran saham ketika ini untuk membeli stok saham yang berkualiti pada harga yang rendah. Jelasnya, sejarah membuktikan pasaran saham akan berubah mengikut kitaran ekonomi untuk kembali pulih dan pada waktu itu, pelabur boleh mengaut keuntungan daripada pelaburan yang dilakukan pada masa sekarang.

"Dalam setiap krisis kewangan, pelabur tidak menyedari bahawa wujud peluang untuk membuat pelaburan. Kegawatan ekonomi 1998 menyebabkan Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) merudum hingga paras rendah sekitar 260 mata.

"Krisis kewangan global ketika ini pula hanya menyebabkan IKKL mengalami penurunan pada paras 850 mata. Tetapi ekonomi akan melalui satu pusingan dan bagi pengurus dana, senario ini merupakan satu peluang baik untuk membeli stok saham yang berkualiti pada harga rendah.

"Pasaran saham bergantung kepada sentimen pelabur yang sering didorong dengan pelbagai spekulasi. Mengikut sejarah, pelaburan di pasaran saham perlu dilakukan untuk tempoh jangka panjang. Walaupun berlaku penurunan, pada dasarnya ia akan naik kembali selepas tempoh lima tahun," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Mohamed Zaki berkata, ASM Investment kini mengorak langkah setapak lagi dalam industri itu apabila menawarkan unit amanah dalam talian sejak dua bulan lalu.

Katanya, tawaran yang dilakukan melalui pihak ketiga itu mampu menjadikan pendekatan dalam taliannya diterima baik oleh pelabur dan industri unit amanah di negara ini dalam jangka masa panjang.

Beliau juga berkata, ASM Invesntment bercadang untuk membuka dua lagi pejabat wilayah di Kuantan, Pahang dan Seberang Jaya, Pulau Pinang pada bulan depan.
Selain Johor katanya, syarikat itu juga telah membuka dua pejabat wilayahnya pada tahun ini di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah bermula Januari dan Mei lalu.
ASM Investment kini menguruskan sebanyak 17 dana dan memiliki saiz dana yang diuruskan sebanyak RM500 juta.



Source : Utusan Online, ov 26, 2008

Achmade Zachary Ghazali,
http://dca2u.blogspot.com

No comments: