ARKIB : 01/09/2008 / Utusan Malaysia
Inflasi berlanjutan 2009
Oleh DALIZA ARIFFIN
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi akan terus tinggi pada separuh kedua tahun ini dan berlanjutan hingga ke awal tahun depan.
Laporan perkembangan ekonomi dan kewangan di Malaysia pada suku kedua yang dikeluarkan bank pusat berkata, kadar kenaikan itu mungkin akan menjadi sederhana menjelang pertengahan tahun depan.
''Penstrukturan semula harga tenaga dalam negeri secara menyeluruh pada bulan Jun dijangka mempunyai kesan deflasi terhadap ekonomi pada separuh kedua tahun ini hingga ke awal tahun 2009,'' katanya.
Bank pusat dalam laporan tersebut menyatakan bahawa, Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada suku kedua tidak berubah pada 3.50 peratus dan melaluinya kadar antara bank bagi semua tempoh matang secara relatif stabil dalam jangkamasa tersebut.
''Daripada segi kadar pinjaman, purata kadar pinjaman asas (BLR) tidak berubah pada suku kedua manakala purata kadar pinjaman (ALR) lebih rendah pada 6.08 peratus pada akhir bulan Jun.
''Kadar deposit pula secara relatif stabil dalam tempoh berkenaan,'' terangnya.
BNM mejelaskan bahawa sistem perbankan terus berdaya tahan dan berkedudukan kukuh untuk memenuhi keperluan pembiayaan serta perkhidmatan kewangan ekonomi dalam negeri.
Katanya, sistem perbankan telah mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM5.2 bilion pada suku kedua dengan purata pulangan atas aset serta ekuiti tahunan masing-masing pada 1.7 peratus dan 22 peratus.
Pinjaman tidak berbayar (NPL) bersih berdasarkan kepada klasifikasi tiga bulan menurun lagi sebanyak 6.7 peratus kepada RM17.8 bilion untuk mencakupi 2.7 peratus daripada jumlah bersih.
Selain itu, BNM dalam laporan tersebut memberitahu bahawa, aliran masuk kasar pelaburan asing telah meningkat kepada RM12.2 bilion yang mana ia disalurkan kepada sektor perkhidmatan, perkilangan, minyak dan gas.
Menurutnya, pada suku kedua, sentimen pelabur di Malaysia dan rantau Asia terjejas akibat kebimbangan terhadap kesan harga tenaga yang lebih tinggi dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) terhadap prospek pertumbuhan rantau ini.
Mengenai momentum pertumbuhan ekonomi, bank pusat berkata, ekonomi Malaysia yang mencatat pertumbuhan sebanyak 6.3 peratus pada suku kedua dijangka terjejas ekoran perkembangan daripada persekitaran global.
''Kesan kenaikan harga, kos komoditi dan bahan api akan terus memberikan deflasi terhadap permintaan dalam negeri selain mempengaruhi sentimen pengguna dan perniagaan.
''Walaupun terdapat tanda-tanda pertumbuhan semakin sederhana, dengan asas ekonomi yang teguh dan sektor perbankan yang berdaya tahan, ekonomi Malaysia berpotensi untuk terus mencatat pertumbuhan yang kukuh,'' katanya.
Achmade Zachary Ghazali,
http://dca2u.blogspot.com
No comments:
Post a Comment